GEOGRAFI PENDUDUK: PENGETAHUAN DAN AMALAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL DI TAMAN DESA KEMUMIN, PENGKALAN CHEPA, KELANTAN.
Pengetahuan dan Amalan Pengurusan Sisa Pepejal di Taman Desa Kemumin, Pengkalan
Chepa, Kelantan.
1.0 PENGENALAN
Sisa pepejal dapat merupakan hasil buangan daripada
aktiviti sosio-ekonomi manusia yang mempunyai sifat kotor dan dianggap tidak
berguna dan pengurusan sisa pepejal adalah antara masalah utama yang dihadapi
oleh kebanyakan bandar di negara membangun (Hasnah, et.al, 2012). Selain itu,
sisa pepejal juga dianggap sebagai suatu bahan atau sumber yang tidak lagi
digunakan kerana tidak mempunyai nilai ekonomi sebelum ia melalui proses akhir
(Soew dan Indera, 2016). Dalam erti kata lain juga, sisa pepejal dapat
ditakrifkan sebagai bahan buangan daripada manusia kerana dianggap sudah tiada
nilainya lagi.
Seiring dengan pertambahan penduduk, perkembangan
kawasan persekitaran dan perindustrian yang kian berkembang pesat dari semasa
ke semasa menyebabkan bertambahnya sisa pepejal yang dijana oleh masyarakat
terutama oleh penduduk di sesuatu kawasan tersebut. Pertambahan jumlah sisa
pepejal boleh dikatakan sentiasa meningkat saban hari. Sehubungan dengan itu,
pada 2001, jumlah sisa pepejal yang dijana di Semenanjung Malaysia dicatat
meningkat daripada 16 200 tan metrik sehari manakala pada tahun 2005 didapati
meningkat kepada 19 100 tan metrik sehari. Menurut Pengarah Institut Lautan dan
Sains Bumi, Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sumiani Yusoff (2021), anggaran
penjanaan sisa pepejal di Malaysia pada tahun 2020 direkodkan sebanyak 38,081
tan sehari dan terus meningkat sehingga tahun 2021 sebanyak 38,699 tan sehari.
Menurut Harian Metro (2021), dianggarkan 14 juta tan sampah setahun akan
dikutip menjelang 2022. Hal ini demikian telah menunjukkan betapa pentingnya
terhadap pengetahuan dan amalan pengurusan sisa pepejal dalam kalangan
masyarakat khususnya masyarakat setempat.
2.0 KAWASAN KAJIAN- Taman Desa Kemumin, Pengkalan
Chepa, Kelantan.
Pada
20 dan 21 Disember 2021, pengkaji telah menjalankan suatu kajian lapangan di
Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa, Kelantan. Kajian yang telah dilakukan ini adalah
bagi memenuhi kursus HGM3033 Geografi Penduduk.
Seterusnya, kajian yang dijalankan adalah berkaitan dengan pengetahuan dan
amalan pengurusan sisa pepejal di kawasan sekitar Taman Desa Kemumin, Pengkalan
Chepa, Kelantan.
Rajah
1: Peta kawasan kajian- Taman Desa Kemumin.
Taman Desa Kemumin merupakan suatu kawasan perumahan yang terletak di Pengkalan Chepa, negeri Kelantan. Taman Desa Kemumin juga terbahagi kepada tiga kawasan iaitu Taman Desa Kemumin Fasa I, II dan III. Rumah saya terletak di kawasan perumahan Taman Desa Kemumin Fasa III. Namun begitu, kawasan perumahan Taman Desa Kemumin Fasa I dan II juga terletak berhampiran dengan kawasan perumahan tempat tinggal saya. Seterusnya, kawasan perumahan Taman Desa Kemumin juga dikelilingi dengan kawasan penempatan yang lain seperti Perumahan Lama JPN, Taman Profil Impian, Taman Wira (perumahan askar), kuarters polis dan Taman Teluk Puteri. Seterusnya, secara umumnya, kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini terletak di Pengkalan Chepa di mana Pengkalan Chepa merupakan sebuah subbandar yang terletak di daerah Kemumin. Di samping itu, Taman Desa Kemumin juga terletak kira-kira 5 km dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa. Kawasan Taman Desa Kemumin juga merupakan kawasan yang strategik yang dikelilingi dengan kawasan perindustrian, sekolah rendah dan menengah, sekolah berasrama penuh, pusat pengajian tinggi, masjid, kedai runcit dan kedai makan. Hal ini demikian telah menyebabkan kawasan persekitaran Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa ini mempunyai penduduk yang padat dan dianggarkan kapasiti kependudukan sebanyak 6768 orang penduduk dengan jumlah purata isi rumah adalah sebanyak 5 orang bagi setiap isi rumah mengikut pegawai penggawa Padang Tembak. Sehubungan dengan itu, majoriti penduduk di kawasan Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa ini terdiri daripada kaum Melayu.
3.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN PENINGKATAN SISA PEPEJAL DI TAMAN DESA KEMUMIN.
Menurut
pemerhatian saya, masalah pengurusan sisa pepejal di kawasan Taman Desa Kemumin
ini agak membimbangkan. Hal ini demikian kerana, jumlah penduduk yang semakin
ramai dan padat saban tahun menyumbang terhadap masalah pengurusan sisa pepejal
di kawasan ini. Tambahan pula, kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini juga
sering didatangi warga Bangladesh untuk tinggal di kawasan perumahan ini saban
tahun. Tambahan pula, kedatangan mereka ke kawasan perumahan ini adalah
berkelompok. Hal ini demikian kerana, kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini
merupakan kawasan perumahan yang paling terdekat dengan sektor perindustrian.
Maka, kawasan ini dianggap strategik bagi mereka untuk didiami kerana dekat
untuk mereka pergi bekerja. Kesannya, kawasan perumahan di sini sentiasa
bertambah dengan penduduk dan memberi kesan terhadap peningkatan jumlah sisa
pepejal.
Selain
itu juga, masalah peningkatan sisa pepejal di kawasan perumahan Taman Desa
Kemumin ini adalah disebabkan amalan penggunaan pembungkusan makanan dan
barangan daripada plastik, polisterin dan bahan berasaskan kayu. Tambahan pula,
kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini berdekatan dengan pasar malam yang
beroperasi setiap hari Isnin dan Rabu, bermula kira-kira daripada pukul tiga
petang hingga sembilan malam. Pasar malam ini akan berhenti beroperasi sebentar
pada waktu Maghrib bagi menghormati waktu tersebut. Sehubungan dengan itu,
setiap hari Isnin dan Rabu, ramai yang akan berkunjung dan membeli makanan dan
pakaian di pasar malam tersebut terutama penduduk di kawasan Taman Desa
Kemumin. Saya dapati, masih lagi ramai yang kurang sedar akan keburukan
membuang sisa pepejal di merata tempat. Sebagai contoh, sebahagian penjual yang
akan meninggalkan atau membuang sisa pepejal di tapak jualan mereka setelah
tamat beroperasi, manakala sebahagian pembeli pula ada yang membuang bekas air
yang diperbuat daripada plastik ke merata tempat di tapak pasar malam tersebut.
Hal ini sungguh menduka citakan saya sebagai penduduk di sini. Ini juga
menujukkan bahawa pengetahuan dan amalan penduduk di sini dalam mengurus sisa
pepejal adalah sangat lemah.
Rajah
2: Penjual di pasar malam kawasan Taman Desa Kemumin menggunakan polisterin
untuk membungkus makanan.
Rajah
3: Pembeli yang membuang bekas minuman di merata tempat di pasar malam kawasan
Taman Desa Kemumin.
Seterusnya,
berdasarkan pemerhatian saya, antara faktor yang menyebabkan peningkatan
pembuangan sisa pepejal di kawasan Taman Desa Kemumin adalah kerana terdapat
banyak kedai makan yang beroperasi di sekitar perumahan Taman Desa Kemumin ini.
Kebanyakan penduduk di sini membuka kedai makan di hadapan rumah mereka. Hampir
setiap hari mereka membuka kedai makan tersebut untuk pekerja-pekerja kilang di
sekitar kawasan perumahan di sini. Secara tidak langsung, sisa pepejal yang
dijana melalui jualan mereka menyumbang kepada jumlah peningkatan sisa pepejal
yang dihasilkan. Namun begitu, hal yang menyebabkan isu adalah tahap
pengetahuan dan amalan mereka dalam mengurus sisa pepejal tersebut. Sisa
pepejal seperti sisa makanan dan pembungkus makanan tidak dibuang terus ke
dalam tong sampah yang disediakan oleh pihak Majlis Pembandaran Kota Bharu
(MPKB), malah mereka meninggalkan sampah mereka di tepi kedai mereka. Hal ini
demikian telah merosakkan pemandangan persekitaran di kawasan perumahan Taman
Desa Kemumin ini.
Rajah
4: Longgokan sampah yang ditinggalkan oleh penjual kedai makan di sekitar
kawasan Taman Desa Kemumin.
Rajah
5: Buangan sisa pepejal di tepi kedai makan di sekitar Taman Desa Kemumin
Di
samping itu, amalan segelintir penduduk di sekitar Taman Desa Kemumin terhadap
pembuangan sampah seperti bahan yang berasaskan plastik di merata tempat seperti
di dalam semak dan longkang juga telah menyumbang kepada kegagalan penduduk
untuk mengurus sisa pepejal dengan baik. Berdasarkan pemerhatian saya, saya
dapati penduduk di kawasan kajian yang telah saya pilih ini, rata-rata kawasan
belakang rumah mereka dipenuhi dengan sampah sarap. Mereka kurang menitik
beratkan akan kebersihan belakang rumah mereka. Bahan buangan daripada plastik
sangat mudah untuk dijumpai. Selain itu, ada juga yang membuang topeng pelitup
muka di merata tempat. Secara tidak langsung, tanpa disedari, ini juga
merupakan amalan yang tidak baik dan akan menjejaskan alam sekitar.
Rajah
6: Sisa pepejal yang dibuang ke dalam longkang di perumahan Taman Desa Kemumin.
Rajah
7: Pemandangan di belakang sebuah rumah di perumahan Taman Desa Kemumin.
Rajah
8: Keadaan belakang rumah di kawasan Taman Desa Kemumin.
4.0
KESAN DARIPADA PEMBUANGAN SISA PEPEJAL DI TAMAN DESA KEMUMIN.
Terdapat
beberapa kesan terhadap persekitaran mahupun manusia apabila tahap pengetahuan
dan amalan pengurusan sisa pepejal di Taman Desa Kemumin ini diambil ringan.
Ghalibnya, kesan ini saling berkait dan memberi mudarat kepada manusia mahupun
alam sekitar.
Antara
kesan yang berlaku disebabkan kurangnya tahap pengetahuan dan amalan terhadap
pengurusan sisa pepejal ini adalah menyebabkan imej di persekitaran perumahan
Taman Desa Kemumin ini terjejas. Hal ini demikian kerana, longgokan sampah dan
pembuangan sampah di merata tempat telah menyebabkan penduduk sekeliling
mahupun orang luar yang datang ke kawasan perumahan ini kurang selesa. Pemandangan
yang kurang baik seharusnya dielakkan kerana ini juga sekali gus merosakkan
reputasi penduduk di kawasan perumahan Taman Desa Kemumin. Orang luar yang
melihat perkara ini akan menganggap penduduk di sini tidak mempunyai tahap
kebersihan yang optimum.
Seterusnya,
berdasarkan pemerhatian saya sepanjang kajian, saya dapati bahawa bilangan
tikus di kawasan perumahan Taman Desa Kemumin juga banyak. Banyak tikus yang
berkeliaran terutama pada waktu malam untuk mencari makanan. Hal ini demikian
kerana, ada segelintir penduduk yang kurang peka akan pentingnya membuang
sampah ke dalam tong sampah yang disediakan. Kelalaian ini menyebabkan
kehadiran binatang yang tidak diingini datang. Tambahan pula, kehadiran tikus
ini dapat membawa kepada penyakit terhadap manusia.
5.0
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH SISA PEPEJAL DI TAMAN DESA KEMUMIN.
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengatasi
masalah sisa pepejal di Taman Desa Kemumin ini. Antaranya adalah menyediakan subjek
alam sekitar di sekolah rendah mahupun menengah. Hal ini demikian kerana,
melalui subjek ini, pendedahan terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dapat
dipupuk di usia muda lagi. Secara tidak langsung juga, melalui subjek ini,
tahap pengetahuan dan amalan dalam mengurus sisa pepejal juga dapat
ditingkatkan. Seperti kata orang bijak pandai, melentur biarlah dari rebungnya.
Maka, pihak kerajaan seharusnya mewajibkan agar semua pelajar di peringkat
sekolah rendah dan menengah untuk mengambil subjek alam sekitar ini. Menurut
Aslina dan Haliza (2015), langkah ini perlu dilakukan bagi menanam sikap dan
amalan masyarakat pada usia dalam usaha memahami dan memelihara alam sekitar.
Seterusnya, meningkatkan bilangan tong sampah khas khususnya
kepada peniaga-peniaga kedai makan merupakan suatu langkah yang dapat diambil
oleh pihak yang bertanggungjawab seperti pihak Majlis Pembandaran Kota Bharu
(MPKB). Menurut pendapat saya, menyediakan tong sampah khas yang mencukupi dan
berdekatan perumahan ini merupakan suatu inisiatif yang patut dilakukan. Hal
ini demikian supaya tiada lagi alasan bagi peniaga-peniaga kedai makan di
kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini untuk meninggalkan sisa pepejal mereka
di tepi kedai. Tambahan pula, pembuangan sisa pepejal yang tidak sistematik
juga dapat boleh menyebabkan nilai estetika kawasan persekitaran terganggu atau
buruk pada pandangan mata (Aslina & Haliza,2015). Oleh yang demikian,
diharapkan pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan susulan atas
permasalahan yang berlaku.
Lantaran itu, semua penduduk di sekitar Taman Desa Kemumin juga tidak ketinggalan untuk melakukan tanggungjawab mereka dalam mengawal pengurusan sisa pepejal secara sistematik. Antara langkah yang dapat dilakukan oleh penduduk adalah tidak membuang sebarang sisa pepejal di merata tempat terutama di longkang. Hal ini demikian kerana, saya dapati bahawa kawasan perumahan saya sering kali mempunyai masalah air bertakung apabila hujan lebat turun akibat daripada pembuangan sisa pepejal ke dalam longkang. Sehubungan dengan itu, apabila longkang dipenuhi sampah sarap, sistem saliran juga terganggu dan boleh menyebabkan banjir. Oleh yang demikian, setiap penduduk seharusnya meningkatkan pengetahuan dan mengubah amalan ini demi kebaikan bersama iaitu kelestarian alam sekitar dan juga keselesaan semua penduduk.
6.0
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, pengetahuan dan amalan pengurusan terhadap sisa pepejal oleh penduduk di Taman Desa Kemumin perlu dipertingkatkan. Hal ini demikian kerana, pembuangan sisa pepejal yang tidak sistematik dan terurus ini akan mendatangkan isu serta kesan suatu jangka panjang. Sehubungan dengan itu, setiap penduduk tidak mengira umur yang muda mahupun tua seharusnya sedar akan tanggungjawab menjaga alam sekitar ini. Tambahan pula, pengurusan sisa pepejal bukan lagi pilihan bagi masyarakat malah merupakan suatu keperluan dalam usaha untuk melindungi alam sekitar, menjamin kelestarian serta kualiti hidup masyarakat setempat. Oleh yang demikian, sebagai seorang masyarakat kita tidak seharusnya menunding jari kepada mana-mana pihak untuk memulakan langkah bagi mengatasi masalah pengurusan sisa pepejal ini. Kita seharusnya berganding bahu dalam bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal kita demi kesejahteraan bersama.
Rujukan
Hasnah Ali, D. D. (2012). Masyarakat dan Amalan Pengurusan
Sisa Pepejal ke arah Kelestarian Komuniti: Kes Isi Rumah Wanita di Bandar
Baru bangi, Malaysia. Malaysia Journal of Sosiety and Space , 64-75.
Hayin, N. '. (2017, Disember 27). My Metro. Retrieved from My
Metro:
https://www.hmetro.com.my/nuansa/2017/12/297254/tenaga-daripada-sisa-pepejal
Lin, T. S. (2016, Mei 20). Astro Awani. Retrieved from Astro
Awani.com:
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/5-perkara-anda-perlu-tahu-mengenai-pengasingan-sisa-pepejal-di-punca-105825
Manzor, L. R. (2021, Julai 21). Kosmo Online. Retrieved from
Kosmo Online:
https://www.kosmo.com.my/2021/07/21/urus-2400-tan-sisa-pepejal-sehari/
Mohammad Tahir Mapa, L. M. (2019). Kajian komposisi dan Pengasingan Sisa
Pepejal di Kawasan Perumahan. Journal of Society and Space, (117-128).
Muhammad Saufi Hassan, N. '. (2021, Julai 20). My Metro.
Retrieved from My Metro:
https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/732770/14-juta-tan-sampah-pada-2022
Radzuan, S. T. (2016). Sikap Masyarakat terhadap Program Kitar Semula:
Kajian Kes di Daerah Batu Pahat, Johor. Journal of Techno-Social,
75-86.
Rahman, A. I. (2015). Pengetahuan dan Amalan Pengurusan Sisa Pepejal
dalam Kalangan Masyarakat di Taman Mesra dan Taman Bakti Kota Bharu,
Kelantan. Geografi, 15-27.
Siti Khatijah Zamhari, N. A. (2014). Komuniti Bandar dan Pengurusan Sisa
Pepejal: Kajian Kes di Bandaraya Kuching. Malaysian Journal of Society and
Space, 126-137.
WAN SITI HAJAR NADZIRAH BINTI WAN MOHD ZAID
D20201093816
KUMPULAN B
Comments
Post a Comment